| PERHUBUNGAN AWAM SEKTOR AWAM SEMAKIN MENCABAR: ANTARA TANGGUNGJAWAB, PELUANG DAN KEPERCAYAAN |
|
|
|
| Written by Mohd Hamdan bin Haji Adnan |
| Thursday, 05 March 2009 17:15 |
|
Perhubungan awam sektor awam lazimnya merujuk kepada kegiatan-kegiatan perhubungan awam yang dibuat oleh pihak kerajaan dan setiap agensinya pada semua peringkat. Kini, cabaran perhubungan awam di dalam kerajaan adalah kian mencabar. Malah boleh dikatakan bukan sahaja lebih mencabar daripada sektor-sektor lain tetapi kian diperlukan.
Adalah diakui bahawa kian maju sesebuah negara semakin hebat keperluannya untuk memiliki amalan perhubungan awam yang cekap dan canggih. Ini terutamanya bagi negara-negara demokrasi dan di mana pihak pembangkang kian kuat dan lantang serta teknologi komunikasinya pesat meningkat dan tersebar luas lagi mudah digunakan oleh sesiapa.
Beberapa penyumbang utama yang mempengaruhi pembangunan dan penggunaan pesat perhubungan awam kerajaan atau PAK serta peningkatan cabarannya termasuklah:
1. Peningkatan pembandaran
2. Peningkatan kepelbagaian dalam masyarakat dan Kerajaan
3. Peningkatan perpindahan dan pergerakan
4. Peningkatan kemahuan masyarakat/rakyat
5. Peningkatan penelitian rakyat
6. Peningkatan pendedahan
7. Peningkatan globalisasi
8. Peningkatan persaingan
9. Peningkatan ketulusan dan pentadbiran terbaik
10. Peningkatan pengkhususan
11. Peningkatan teknologi komunikasi
12. Peningkatan demokrasi
13. Peningkatan pendidikan rakyat
14. Peningkatan hak asasi manusia
15. Peningkatan suasana dunia tidak menentu
16. Peningkatan masyarakat sivil
17. Peningkatan kepenggunaan
18. Peningkatan kerumitan memerintah dan mentadbir
Maka, cukup terang bahawa pengamal PAK kini mesti memahami sejelas-jelasnya mengenai pemerintahan atau pentadbiran terbaik supaya mampu menarajuinya. Ini adalah kerana kunci asas dalam pemerintahan terbaik ialah merangsangkan penyertaan awam, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Pendapat Umum dan PAK
Pengamal PAK kini harus membantu kerajaan untuk memantau pendapat umum dan mencerakinkan kesannya terhadap kepentingan pemerintah dan negara. Suara rakyat kini kian perlu dipertimbangkan. Jika tidak rakyat akan memilih mana saja pihak yang mendengari rintihan mereka semasa pilihan raya. Terdapat sepuluh faktor utama yang mendorong kerajaan supaya lebih sensitif dan peka terhadap pendapat umum, iaitu:
1. Peningkatan keperluan rakyat mendapatkan penerangan, maklumat dan bimbingan. Ini kerana jumlah dan kerumitan isu serta masalah awam kian melambung.
2. Perubahan peranan kerajaan. Berubah sikap daripada bertindak sebagai polis kepada yang lebih bersifat kebajikan. Ini perlu dibuat kerajaan bagi memperolehi sokongan dan penyertaan rakyat.
3. Keperluan untuk mendapatkan sokongan kepada dasar-dasar yang dibentuk kerajaan. Ini kerana rakyat kini terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dan semuanya tidak semestinya mesra dengan kerajaan. Bagi menawan jiwa dan minda rakyat kerajaan perlu mempertanggungjawabkan pakar-pakar komunikasi dalam setiap agensi kerajaan untuk mewujudkan program mesra pelanggan.
4. Keperluan bagi mendapatkan restu rakyat atau khalayak tuju bagi undang-undang yang mahu digubal atau sebarang pindaan yang ingin dibuat. Suatu contoh yang baik ialah pindaan perlembagaan dan penggubalan akta memansuhkan kekebalan raja-raja. Satu lagi contoh yang baik ialah ketika penggubalan Akta Dadah Berbahaya 1984. Akta ini mengenakan hukuman mati mandotori kepada pengedar dadah. Suatu Jawatankuasa Khas Parlimen ditubuhkan untuk pergi terus kepada rakyat di seluruh negara bagi mendapatkan restu mereka. Jawatankuasa ini telah mengadakan pertemuan awam di tujuh buah bandar serta menemui 450 pertubuhan dan orang perseorangan. Hasil usaha Jawatankuasa ini memberangsangkan kerana mendapat sokongan luar biasa rakyat.
5. Peningkatan jumlah pergerakan rakyat yang kian mahir mempengaruhi pendapat umum. Jika kerajaan tidak telus dan tidak mengamalkan pengurusan baik, pergerakan rakyat atau sivil akan lebih lantang bersuara.
6. Peningkatan rakyat yang lebih terdidik dan lantang bersuara serta terdedah kepada pelbagai saluran maklumat antarabanga. Ini akan mendorong kerajaan supaya lebih peka terhadap suara rakyat atau pendapat umum.
7. Peningkatan kemudahan, peralatan dan saluran komunikasi yang kian canggih di tangan kerajaan. Kesemuanya harus digunakan untuk penerangan yang berkesan bagi meningkatkan kefahaman dan sokonan rakyat terhadap sesuatu dasar atau projek. Adalah perlu bagi kerajaan untuk menggunakan setiap saluran komunikasinya sebagai media pendidikan dan tidak hanya selaku alat seranta atau propaganda. Menggunakan semua saluran kerajaan sebagai media pendidikan akan membantu membentuk rakyat yang berilmu dan berupaya memegang pendapat umum yang bermaklumat dan bijaksana. Ini memperkasakan rakyat daripada mudah dipengaruhi anasir jahat.
8. Peningkatan rakyat mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, sama ada daripada tempatan atau global. Badan-badan rakyat juga kian memiliki peralatan dan saluran komunikasi yang canggih serta mampu menggunakannya bagi menyebarkan maklumat-maklumat yang berguna kepada rakyat untuk memastikan kerajaan sentiasa telus dan prihatin terhadap keperluan rakyat.
9. Peningkatan rakyat memiliki alat-alat komunikasi seperti Internet dan telefon bimbit yang mampu menghubungkan mereka denganpihak yang memiliki minat serta jiwa sehaluan. Ini merangsang mereka untuk membina sokongan bagi memperkasakan segala pendapat kelompok mereka.
10. Peningkatan penyertaan rakyat dalam semua bidang yang melibatkan kepentingan dan kemajuan mereka. Ini termasuklah dalam bidang ekonomi, sosial, budaya dan politik.
PEMBATASAN PERHUBUNGAN AWAM SEKTOR AWAM
Dalam konteks Malaysia, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada pembatasan atau pengurangan keberkesanan perhubungan awam di pihak awam. Satu tinjauan yang dibuat oleh penulis bersama para pelajar Perhubungan Awam di UiTM mendedahkan perkara-perkara berikut:
1. Khalayak Tak Kisah atau Publik Pasif (Sikap Tak Apa) Di negara seperti Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum, agama, etnik, budaya, ia merupakan cabaran yang besar untuk memujuk dan merayu kepada semua orang atau pihak pada setiap masa. Lumrahnya, rakyat terlalu sibuk menjalani kehidupan harian dan tiada masa untuk menyertai atau terlibat dalam hal pemerintahan mahupun mengambil kira mengenai hal-ehwal awam. Dalam cabaran ini pengamal PAK perlu mampu memerangsang rakyat supaya lebih terlibat dalam urusan pentadbiran negara dan berterusan menyalurkan maklumat agar kerajaan lebih peka terhadap mereka serta mengamalkan pentadbiran yang baik dan cekap.
2. Ahli Dewan Perundangan Kurang Mesra Pengamal PAK sering berhadapan dengan ahli-ahli majlis perundangan yang kurang mesra dan kadangkala kurang memahami peranan perhubungan awam. Bahkan, pengamal PAK kerap berhadapan dengan permusuhan dan kesangsian berbanding dengan para profesional perhubungan awam dalam bidang-bidang lain.
3. Pengiktirafan yang Sederhana Pengamal PAK jarang ditempatkan di peringkat tertinggi. Kebanyakannya berkhidmat di peringkat pertengahan dan biasanya peluang naik pangkat agak sederhana. Mereka jarang diberi kuasa untuk membuat keputusan walaupun kebanyakan mereka berhubung terus dengan pihak atasan.
4. Kurang Keyakinan Kurangnya pengiktirafan mampu menjejaskan keyakinan diri di kalangan pengamal PAK. Ada di antara mereka membandingkan dan meletakkan nilai taraf mereka tidak setinggi dengan pegawai yang berkhidmat dengan sektor korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan.
5. Berasa RendahDiri Resminya, ramai pengamal PAK berasa rendah diri apabila dibandingkan dengan para pengamal perhubunga awam di sektor swasta. Ini kerana kedudukan dan gaji mereka yang tidak setimpal dengan tanggungjawab yang mereka pikul. Perasaan rendah diri boleh menjejaskan ransangan mereka sehingga tidak mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.
6. Perspektif Negatif PAK sering dianggap sebagai propaganda, walaupun maklumat yang mahu disebarkan ialah benar. Tanggapan ini umum kerana PAK amnya bersifat komunikasi sehala dan kurang interaktif. Media massa yang mampu interaktif seperti radio, televisyen mahupun Internet harus lebih kerap digunakan. PAK juga perlu melaksanakan komunikasi berintegrasi dan bersifat dua hala dalam kempen-kempen mereka bagi mengelak daripada dilabel sebagai “propagandistik” atau bersifat diayah.
7. Terlalu Umum Kempen kerajaan biasanya dilihat sebagai terlalu umum. Sesuatu kempen itu tidak memiliki khalayak tuju yang khusus. Biasanya, ia cuba mempengaruhi seberapa banyak khalayak yang boleh. Misalnya, semua khalayak dianggap memiliki minat yang sama atau mempunyai tahap ilmu atau kemampuan yang serupa. Ini kerana lazimnya khalayak yang terlalu luas menyebabkan maklumat yang mahu disampaikan kurang mengena sasarannya.
8. Mempermudahkan Banyak isu kini adalah sesuatu yang rumit dan kompleks. Malah ianya kian canggih dan mencabar. Wujud pelbagai faktor yang mengakibatkan berbagai perubahan. Kemajuan dalam bermacam bidang berlaku dengan cukup pantas. Namun, biasanya kaedah yang digunakan untuk menyelesaikan isu yang rumit dilihat terlalu dipermudahkan. Sebaik-baiknya semua kempen perlu mudah difahami dan menarik. Ia seharusnya mengambil kira persekitaran terkini dan memastikan bahawa isi atau mesejnya sesuai dengan khalayak-khalayak tuju kempen.
Tanggungjawab PAK
Peranan atau tanggungjawab pengamal PAK di dalam negara demokrasi bolehlah disenaraikan seperti yang berikut:
Maka, amnya tanggungjawab-tanggungjawab utama pengamal PAK ialah untuk meningkatkan komunikasi yang mampan, interaktif dan beretika bagi mendapatkan sokongan dan kefahaman rakyat dan khalayak-khalayak tuju. Mereka mesti memantau pendapat umum dan apa jua maklum balas atau reaksi yang termasuk liputan media dan internet mengenai pandangan awam atay khalayak khusus mengenai kerajaan.
Seterusnya, untuk menasihati badan berkaitan kerajaan mengenai tindakan yang harus diambil, iaitu sama ada yang bersifat reaktif atau proaktif. Pengamal PAK juga bertanggungjawab untuk mengubah perutusan yang perlu disebar, memilih saluran atau medianya serta menentukan khalayak-khalayak tujunya. Setiap proses atau langkah PAK harus dinilai untuk mengukur pencapaian atau keberkesanannya. Ini adalah bagi membantu membaiki setiap acara atau program PAK supaya ia bukan sahaja kos-efektif tetapi memenuhi matlamatnya dengan sempurna.
Di sini perlu ditegaskan bahawa pengamal PAK berkhidmat kepada dua “tuan”, iaitu majikan (kerajaan) dan rakyat (tuan kepada kerajaan). Adalah tanggung-jawab pengamal PAK yang paling asas untuk sentiasa menyediakan maklumat dan penerangan mengenai segala yang harus kepada rakyat dan khalayak-khalayak terpilih. Pada masa yang sama, mereka merupakan nadi kepada kerajaan dengan memastikan setiap dasar kerajaan dan kepentingan hak asasi manusia menjadi objektif utama dalam mendapatkan sokongan bagi dasar dan projek kerajaan di samping berusaha mengekalkan kuasa kerajaan yang sedia ada.
Namun begitu, pengamal PAK harus bersifat berkecuali dan profesional seberapa boleh semasa menjalankan tanggungjawab walaupun selaku pegawai kerajaan. Ini bagi memastikan kredibilitinya terjamin. Misalnya, jika berlaku perubahan kerajaan ia masih boleh menjalankan tanggungjawabnya secara profesional demi kepentingan rakyat dan negara.
Kepercayaan
Pada setiap masa pengamal PAK perlu memperolehi kepercayaan rakyat dan kerajaan. Ini bukanlah suatu yang mudah. Jika seorang pengamal PAK tidak dipercayai atau kurang kredibiliti sudah pasti apa yang disebarnya tidak membawa kesan. Jika kurang dipercayai atau tidak ada kredibiliti kesan usahanya akan bagaikan “menuangkan air di daun keladi”, sia-sia sahaja. Iaitu, membazir wang, masa dan tenaga.
Lebih malang kredibiliti kerajaan dan negara turut terjejas. Maka, adalah kebaikkan bagi semua pihak untuk memastikan kepercayaan rakyat dari semua lapisan masyarakat terhadap pengamal PAK dipertahankan, dan sebaik-baiknya dipertingkatkan.
Kepercayaan rakyat dan kerajaan hanya dapat dijamin dengan pengamal PAK sentiasa diberi peluang untuk meningkatkan pendidikan, pendedahan dan pengalamannya. Pengamal harus PAK digalak supaya melibatkana diri dalam pendidikan sepanjang hayat. Mereka perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi informasi dan penulisan di dalam Internet yang termasuk melalui saluran blog.
Peluang
Pengamal PAK kini lebih banyak peluang untuk meningkatkan kedudukan dan ilmu serta pengamalan mereka. Ini kerana peranannya kian diperlukan di dalam dunia yang kian global dan masyarakatnya saling bergantungan serta menuntut hak-hak mereka dan penglibatan melalui badan-badan bukan kerajaan. Paling kurang adalah sebagai penghubung atau jambatan antara kerajaan dengan rakyat serta berbagai-bagai kumpulan kepentingan awam dan NGOs yang “tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan”.
Pengamal PAK kini boleh menjadi wira maklumat menjamin nama baik negara dan kerajaan memandangkan meningkatnya pengganas maklumat yang menyalahgunakan teknologi maklumat bagi kepentingan diri atau kumpulan mereka. Untuk menjadi wira maklumat adalah jelas bahawa pengamal PAK perlu meningkatkan kemahiran teknologi komunikasinya serta ketajaman penulisannya menurut gaya yang mampu menarik pengikut. Pengamal PAK juga perlu menambahkan ilmunya dengan pembacaan yang meluas serta perbincangan dengan khalayak-khalayak yang membantunya memahami sasarannya.
Memandangkan bahawa negara kita kian maju dan canggih serta dilengkapi oleh pelbagai prasarana dan teknologi, maka berkemungkinan besar dalam bidang PAK juga akan wujud pengkhususannya yang tersendiri. Iaitu, seperti pakar perhubungan badan-badan bukan kerajaan atau NGOs, perhubungan swasta, perhubungan komuniti, pakar perang jiwa, pakar bloga, pakar menentang pengganas maklumat, dll. Sebaik-baiknya, pengamal PAK memiliki kelulusan minimum di peringkat sarjana dan lagi bagus memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perhubungan awam dan pengkhususannya.
Bagi menjaminkan standard yang tinggi dan beretika di dalam amalan perhubungan awam di Malaysia buat permulaan telah diperkenalkan suatu sistem pentauliahan. Kini, Institut Perhubungan Raya Malaysia atau lebih dikenali sebagai IPRM telah mengadakan sistem akreditasi. Seharusnya setiap pengamal PAK berusaha memperolehinya. Mereka yang diberi akreditasi (APR – Accreditated Public Relations Professional) perlu memberikan sumbangan kepada masyarakat pengamal perhubungan awam di dalam bentuk kursus atau penyelidikan dalam bidang kepakarannya.
Kumpulan APR juga digalakkan menghadiri kursus-kursus berkaitan untuk meningkatkan kepakaran mereka. IPRM perlu dijadikan seperti badan-badan ikhtisas yang lain, iaitu didaulat dan dilindungi oleh akta khasnya sendiri.
Pengamal PAK seharusnya menubuhkan satu badan profesional khas yang bergabung dengan IPRM. Baru-baru ini IPRM telah melancarkan suatu badan khas untuk pendidik perhubungan awam. IPRM juga berhajat untuk membentuk suatu badan khas bagi pengamal PAK di peringkat pihak berkuasa tempatan. Ini bagi mewujudkan suatu masyarakat PAK untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman serta memperjuangkan kepentingan mereka selaku sebuah badan khas. Badan ini juga boleh mengadakan suatu penerbitan khas atau jurnal untuk berkongsi pengalaman dan pendapat.
Badan khas PAK ini bolehlah memperjuangkan kepentingan para pengamalnya yang termasuk meningkatkan taraf jawatan dalam kerajaan serta lebih peluang naik pangkat. Amat penting bagi pengamal PAK ialah untuk mendapatkan pengiktirafan selaku kumpulan profesional yang bertauliah seperti doktor, peguam, jurukira, arkitek, jurutera dan sebagainya.
Badan khas PAK ini bolehlah mengendalikan kursus-kursus yang khusus dan bersesuaian dengan kepakaran yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya ini. Ianya bolehlah dibuat dengan kerjasama institusi pendidikan tinggi yang menawarkan bidang pengkhususan dalam jurusan perhubungan awam. Ia juga boleh dibuat bersama pihak industri yang kepakaran mereka berguna dalam urusan pengamal PAK.
Memandangkan dunia ini kian global kumpulan pengamal PAK bolehlah juga mengadakan lawatan-lawatan ke negara-negara yang memiliki pengamalan yang memerangsangkan dalam bidang berkenaan. Paling mudah mengadakan lawatan ke kedutaan-kedutaan yang ada di Kuala Lumpur. Para diplomat yang sesuai bolehlah diundang untuk memberikan ceraman yang berkenaan yang mampu meningkatkan pengetahuan, ilmu dan kemahiran di peringkat antarabangsa dan antarabudaya.
Memandangkan dunia ini kian pesat global bijak juga pengamal PAK kita menguasi bahasa-bahasa asing tertentu dan paling kurang untuk fasih dalam bahasa Inggeris sama ada penulisan atau pertuturannya dan sebaik-baiknya kedua-dua sekali.
Akhir kata, tetapi cukup penting adalah ditegaskan semula bahawa pengamal PAK bertanggungjawab untuk mempertahankan citra kerajaan dan negara sebaik boleh. Maka, PAK wajib memberikan yang terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. PAK juga bertanggungjawab untuk meningkatkan ilmu dan kemahirannya supaya sentiasa berdaya saing bagi menjadi pengamal PAK kelas dunia.
Rujukan Mohd Hamdan bin Adnan, 2004. Government Public Relations: Persasion, Personality and Power. Serdang, APRA. Mohd Hamdan bin Adnan, 2008. Perkembangan Perhubungan Awam kerajaan dan Politik Malaysia. Shah Alam, UPENA, UiTM. Mohd Hamdan bin Adnan, 2008. Pengamalan Perhubungan Awam Kerajaaan dan Politik Malaysia. Shah alam, UPENA, UITM.
Nota 1 Kertas kerja yang dibentangkan kepada Seminar Perhubungan Awam Jabatan Penerangan Malaysia pada 14 November 2008 di Prince Hotel & Residence. 2 Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia, Ahli Panel Perpaduan Negara dan Penasihat FOMCA.
|
| Last Updated on Friday, 06 March 2009 08:32 |